14 Julai 2015

Ekoran Tragedi Low Yatt - PEKIDA PULA YANG DITUDUH MENCEMAR KESUCIAN RAMADHAN

Jurucakap G25 Datuk Noor Farida Ariffin berkata campur tangan Pekida dalam rusuhan di Plaza Low Yat semalam membimbangkan kerana ia hanya mengeruhkan lagi keadaan. 

Kumpulan 25 tokoh Melayu profesional (G25) membidas Persatuan Kebajikan Islam dan Dakwah Islamiah (PEKIDA), salah sebuah kumpulan yang didakwa mendalangi rusuhan di Plaza Low Yat, sebagai mencemari kesucian bulan Ramadan.

Jurucakap G25 Datuk Noor Farida Ariffin berkata, campur tangan kumpulan pendesak Melayu itu dalam insiden semalam membimbangkan kerana ia hanya mengeruhkan lagi keadaan.

"Ia sangat menyedihkan insiden ini berlaku semasa bulan suci Ramadan. Penglibatan Pekida, sebuah badan bukan kerajaan (NGO) orang Islam, memburukkan lagi keadaan ini.

"Ini menunjukkan tindakan tidak bertanggungjawab mereka dan gagal untuk menghormati kesucian Ramadan," kata Farida kepada The Malaysian Insider.
Masyarakat Melayu dan Cina perlu menolak tindakan tidak beradab ini kepada seluruh rakyat Malaysia atas kesalahan di pihak masing-masing yang menjadi punca kepada pergaduhan di pusat beli belah itu.

Ia juga perlu dijadikan pengajaran kepada ahli politik supaya tidak menghangatkan sentimen perkauman dan agama untuk kepentingan peribadi, kata Farida.

"Insiden ini perlu dijadikan pengajaran kepada ahli politik supaya tidak terus menghangatkan sentimen perkauman dan menggunakan agama serta kaum untuk kepentingan politik," katanya.

Farida juga menggesa supaya tindakan tegas diambil terhadap pihak blogger dan media sosial yang menggunakan platform Internet mempengaruhi orang ramai.

"Pihak polis perlu menyiasat blogger atas kesalahan yang mereka lakukan mengikut Akta Hasutan dan mendakwa mereka mengikut akta ini," katanya.

Terdahulu hari ini, Presiden Pekida Jalaluddin Yusof tidak menafikan kemungkinan terdapat anggotanya terlibat dalam rusuhan semalam, tetapi akan menyiasat terlebih dahulu kebenaran dakwaan tersebut.

Jalaluddin berkata, pihaknya tidak akan teragak-agak mengambil tindakan terhadap mana-mana ahlinya yang didapati terlibat melakukan provokasi melampau dalam insiden di Plaza Low Yat semalam.

Drama di Plaza Low Yat itu bermula pada Sabtu apabila seorang pemuda dilaporkan mengunjungi sebuah kedai di sana untuk membeli telefon bimbit Lenovo S860 bernilai RM799.

Jurujual yang melayannya memberitahu The Star kemudiannya, apabila dia berpaling untuk mendapatkan hadiah percuma untuk pemuda itu, dia sudah pun melarikan diri bersama telefon bimbit itu.

Kejadian kejar-mengejar tercetus dan peniaga telefon bimbit di kedai lain menangkap suspek itu, menyerangnya dan menyerahkan kepada polis.

Semalam, bagaimanapun, sekumpulan rakan suspek menyerbu ke plaza itu dan menyerang kedai di mana pekerjanya membantu memberkas suspek.

Ketegangan terjadi semula di luar Plaza Low Yat di Kuala Lumpur sejurus selepas tengah malam tadi apabila pergaduhan tercetus di antara 2 kumpulan, hanya beberapa jam selepas polis mengarahkan kumpulan yang ramai di luar premis itu bersurai..

Tiada ulasan:

Catat Ulasan