22 Mei 2013

RAZALI SOKONG TUNKU AZIZ TERUS DEDAH PARTI DAP

Bekas Setiausaha Organisasi DAP Bahagian Jelutong, Mohamed Razali Abdul Rahman menyokong tindakan bekas Naib Presiden DAP, Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim meneruskan pembongkaran rahsia dalaman parti itu.

Ini kerana selama ini DAP sering melemparkan tuduhan kepada parti lawan, seolah-olah parti itu terhindar dari sebarang perbuatan yang salah.

“Saya sokong tindakan Tunku Abdul Aziz 100 peratus. Sekiranya Karpal dan DAP tidak melakukan perkara seperti didedahkan menerusi beberapa siri kenyataan Tunku Abdul Aziz sebelum ini, kenapa mereka perlu berasa takut,” katanya ketika dihubungi...

Sehubungan itu, tambahnya, pemimpin DAP tersebut perlu bersedia dan menerima tindakan pihak lain yang mendedahkan kepincangan parti itu apatah lagi perkara berkenaan dilakukan bekas pemimpin dan ahli DAP sendiri.

Beliau mengulas kelantangan Tunku Aziz yang terus nekad mendedahkan segala rahsia parti itu kepada umum walaupun diancam oleh Pengerusi DAP, Karpal Singh untuk mengambil tindakan undang-undang.

Karpal Singh dilaporkan memberi amaran kepada bekas Tunku Aziz supaya berhenti mendedahkan cerita yang menjadi ‘rahsia’ dalam parti itu kepada umum.

“Saya akan mengemukakan saman di mahkamah sekiranya Tunku Abdul Aziz tidak menghentikan perbuatan memburukkan DAP.

“Perkara ini harus dibawa ke mahkamah supaya beliau faham sudah tiba masanya untuk kami bertindak,” katanya.

Karpal berkata, jika Tunku Aziz seorang yang benar-benar bersikap gentleman, beliau tidak seharusnya mendedahkan rahsia parti berkenaan kepada umum.

Tunku Aziz yang juga bekas Naib Presiden Transparency International menyertai DAP pada 2008 sebelum dilantik menjadi Naib Pengerusi parti berkenaan pada 31 Mei 2009.

Ketegangan hubungan Tunku Aziz dengan DAP bermula pada tahun lalu, apabila beliau tidak bersetuju dengan pendirian parti berkenaan yang menyokong perhimpunan haram Bersih 3.0 yang mengerahkan rakyat turun ke jalanan.

Selepas mengumumkan keluar DAP, Tunku Aziz lantang mengkritik parti itu terutamanya membabitkan isu penyelewengan pemilihan Jawatankuasa Kerja Pusat (CEC) pada tahun lalu.

Tunku Aziz dalam responnya berkata beliau sama sekali tidak gentar dengan amaran Karpal Singh itu sebaliknya, beliau tetap akan terus membuat pendedahan berkaitan parti itu dan bersedia disaman pada bila-bila masa.

“Apa maksud rahsia dalaman parti oleh Karpal? Adakah dengan ini, beliau mengaku semua pendedahan saya sebenarnya benar dan tidak seharusnya diceritakan kepada masyarakat umum? Mereka cuba ‘menghancurkan’ keamanan negara ini dan saya harus menutup mulut?

“Siapa Karpal untuk mengarahkan saya ‘tunduk’ kepada kemahuan beliau? Saya tidak sekali pun gerun dengan amaran ini, saman saya dengan segera pada bila-bila masa, saya tidak takut dengan ugutan kebudak-budakan seperti ini,” katanya.

Tunku Aziz turut mengingatkan Karpal bahawa beliau tidak pernah menjual ‘maruah dan suara hatinya’ sehingga terpaksa tunduk kepada golongan hipokrit serta pentingkan diri dalam parti tersebut.

“Saya sertai DAP kerana terpedaya dengan retorik parti itu, dan kerana tidak tahan ‘diperhambakan’ serta diperbodohkan oleh orang-orang ini, saya telah keluar. Adakah Karpal, Lim Guan Eng dan Lim Kit Siang ingat saya boleh dibeli dan diugut seperti ini?

“Apakah maksud Karpal dengan menuduh saya mendedahkan rahsia parti? Andai rahsia itu membawa musibah kepada negara dan rakyat di negara ini, saya akan teruskan perjuangan saya. Saman saya beratus kali sekalipun, saya sedia hadapinya,” ujarnya.

Tambah Tunku Aziz, beliau akan membuat lebih banyak pendedahan dari semasa ke semasa selepas ini tanpa menghiraukan amaran Karpal.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan