18 Mei 2013

PEGUAM DAKWA POLIS REKA CERITA

N.Surendran (tiga dari kiri) bersama bapa mangsa suspek kes
rompakan yang ditembak mati polis. Foto Sinar Harian
PETALING JAYA – Dua peguam kepada waris tiga suspek rompakan yang terbunuh di Taman Billion, di sini, N.Surendran dan Latheefa Koya mendakwa laporan hasil bedah siasat bertentangan dengan kenyataan polis.

Surendran mendakwa berdasarkan laporan yang diperolehi dari Unit Forensik, Fakulti Perubatan Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia, kedudukan peluru yang mengenai ketiga-ketiga suspek itu menunjukkan mangsa ditembak ketika mereka berlutut dan bukannya ditembak dari hadapan, seperti dalam kenyataan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah.

“Polis kata suspek mulakan tembakan ke arah polis, tapi bagaimana tembakan itu menuju ke bawah tubuh mangsa padahal sudut tembakan polis sepatutnya terus saja.

“Laporan post mortem itu mudah saja, mangsa ditembak dari atas dan peluru tembus keluar ke bawah dan ia bertentangan dengan keterangan polis,” katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat PKR, di sini, hari ini.

Dua beradik, Noor Azman Othman, 39, Aidi Noor Hafizal Othman, 23 dan serorang rakan mereka, Saufi Ahmad, 23, merupakan suspek rompakan kedai emas di Shah Alam telah ditembak mati di bulatan Taman Billion, awal pagi pada 14 April 2012.

Azman ditembak sebanyak lapan kali manakala Aidi ditembak sebanyak 11 kali.

Surendran yang juga Naib Presiden PKR juga mempersoalkan bagaimana lapan das tembakan boleh dilepaskan kepada mangsa jika pihak polis mahu menghentikan tembakan balas mangsa.

Beliau menyifatkan kenyataan polis itu adalah satu penipuan dan dipercayai cuba menyembunyikan sesuatu, susulan laporan hasil bedah siasat itu nyata bertentangan dengan fakta yang dikemukakan pihak polis.

Sehubungan itu, PKR mendesak supaya satu siasatan segera diambil oleh satu badan siasatan bebas susulan pihak polis gagal memberikan penjelasan tentang siasatan yang telah dilakukan sepanjang setahun lalu.

“Kita mahu polis yang terlibat dalam kes itu ditangkap dan disiasat.

“Siasat semua pegawai tertinggi termasuk Datuk Ku Chin Wah kerana didapati cuba menyembunyikan sesuatu dalam kes ini dan berapa ramai suspek telah disoal siasat, apa yang telah dibuat,” tegasnya.

Beliau turut mempersoalkan kelewatan laporan bedah siasat itu dikeluarkan selepas setahun insiden itu berlaku.

Hanya terdapat dua laporan hasil bedah siasat yang bertarikh Februari 2013 sahaja diperolehi daripada pihak hospital terbabit manakala Saufi pula masih belum diperolehi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan