14 Mei 2013

BUNUH TKP KASTAM - POLIS DAPAT PETUNJUK

KUALA LUMPUR – Polis mendapat petunjuk baharu dalam siasatan kes pembunuhan Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Perkastaman/Cukai Dalam Negeri), Datuk Shaharuddin Ibrahim pada 26 April lalu ekoran penangkapan seorang lelaki dipercayai mempunyai kaitan dengan insiden itu semalam.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohmad Salleh berkata, suspek seorang lelaki Cina berusia 56 tahun ditahan oleh sepasukan pegawai dan anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur pada pukul 8.30 pagi di Petaling Jaya dekat sini.

“Lelaki berkenaan kini direman selama seminggu bermula hari ini sehingga 18 Mei ini untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 8.15 pagi itu, Shaharuddin mati ditembak dua lelaki bermotosikal ketika dalam perjalanan ke pejabatnya di Putrajaya.

Shaharuddin cedera di leher dan kepala setelah terkena tiga das tembakan sebelum disahkan meninggal dunia pukul 9.20 pagi di Hospital Putrajaya.

Ekoran itu, polis telah merakam keterangan 35 individu termasuk warga Jabatan Kastam Diraja Malaysia dan orang awam bagi membantu siasatan kes tersebut.

Mohmad bagaimanapun tidak mengulas lanjut secara terperinci mengenai suspek yang ditangkap dan motif pembunuhan tetapi difahamkan lelaki berkenaan tidak mempunyai rekod jenayah lampau.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, polis turut menahan dua lelaki masing-masing berusia 35 dan 40 tahun bagi membantu siasatan kes seorang pemilik kedai gunting mati di tembak di bulatan Taman Billion, Cheras di sini yang juga berlaku pada 26 April lalu.

“Kedua-dua suspek masih direman untuk siasatan lanjut sehingga 15 April ini,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan