28 Mac 2013

PUCHONG : TEBING RUNTUH

KEADAAN tebing runtuh di Apartmen Beringin, Jalan Industri PBP3, Puchong.

Puchong : Lebih 60 penghuni Blok B Apartmen Beringin, Jalan Industri PBP3, di sini, terpaksa dipindahkan ke Dewan Serbaguna Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) Puchong Indah selepas tebing tanah di belakang rumah mereka runtuh, semalam.

Runtuhan dengan keluasan 16.6 meter x 16.6 meter persegi itu berpunca daripada hujan lebat awal pagi semalam menyebabkan tanah yang sudah terhakis sejak sebulan lalu bertambah teruk dan runtuh.

Penduduk, Haizul Hamzah, 45, yang tinggal di kediaman terbabit sejak 12 tahun lalu berkata, tebing tanah di belakang rumah mereka mula terhakis sejak 19 Februari lalu dan mereka sudah memaklumkan perkara itu kepada pihak bertanggungjawab.

Menurutnya, pegawai MPSJ sudah memeriksa keadaan struktur tanah terbabit namun ketika itu hakisan hanya sedikit.

“Bagaimanapun, awal pagi tadi (semalam) jam 2 pagi hujan lebat yang berkemungkinan menyebabkan ia runtuh dan membahayakan keselamatan penduduk di sini.

“Dalam soal ini saya tidak mahu menyalahkan sesiapa namun jika pihak terbabit terlebih awal mengatasi masalah ini kemungkinan runtuhan itu tidak berlaku,” katanya ketika ditemui, semalam.

Sementara itu, Penolong Pengarah Operasi Bomba dan Penyelamat Selangor Mohamad Sani Harul berkata, pihaknya menerima maklumat kejadian itu pada jam 5 petang dan tiba di tempat kejadian 13 minit kemudian.

“Laporan awal yang diterima mendapati terdapat pergerakan tanah runtuh berhampiran tembok dan retak di bahagian belakang bangunan terbabit.

“Setakat ini keselamatan kawasan terbabit masih dalam siasatan dan semua penghuni dipindahkan ke dewan buat sementara waktu,” katanya.

Beliau berkata, dalam operasi itu balai terbabit adalah Balai Bomba dan Penyelamat Puchong dengan seorang pegawai serta enam anggota.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan