17 Mac 2013

LAHAD DATU - KOTA KOBOI?

Lahad Datu kini tiba-tiba menjadi popular dan sering diperkatakan di media-media luar dan dalam negeri. Kota kecil ini menjadi tajuk perbualan masyarakat ekoran dari insiden pencerobohan pengganas Sulu yang masih berterusan sehingga kini.

Sebenarnya Lahad Datu bukanlah sebuah kota metropolitan seperti Kuala Lumpur atau Kota Kinabalu. Perbezaannya amat jauh sekali dan diikutkan tidak banyak perkara menarik mengenai kota ini. Ia hanyalah bandar kecil yang terletik dipinggir pantai dan cuma memakan masa tidak sampai satu jam untuk mengelilingi seluruh bandar ini jika menaiki kereta.

Jika diperhatikan, bandar ini agak kotor dan agak sesak. Banyak barang-barang 'haram' ( lari cukai ) dijual bebas di sini, terutamanya rokok.

Di Kuala Lumpur atau Kota Kinabalu, penjualan rokok haram dari Filipina atau Indonesia agak sukar didapati dan jika ada pun ianya dijual secara sembunyi-sembunyi. Berlainan suasana di bandar ini, kerana disepanjang kedai di sini hampirnya kesemuanya menjual rokok haram kerana menurut mereka rokok ini lebih laku berbanding rokok buatan Malaysia yang bercukai.

Selain rokok, terdapat juga barangan lain yang diseludup dari Indonesia seperti sos, kicap serta barangan keperluan dapur boleh didapati dengan mudah di bandar Lahad Datu.

Dari segi pengangkutan penduduk pula, mereka yang tinggal di sini kebanyakkannya lebih berminat  menggunakan kenderaan pacuan empat roda daripada menggunakan motorsikal kerana faktor jalan yang kurang baik. 

Untuk pengangkutan, jumlah kereta di sini lebih banyak berbanding motor. Sebahagian besar kereta adalah jenis kenderaan besar seperti Toyota Hilux, Nissan Navara, Suzuki DMax dan seumpamanya.

"Kereta-kereta besar di sini memang banyak. Kereta-kereta itu memang paling sesuai untuk di Sabah kerana sering digunakan keluar masuk ladang sawit," kata salah seorang penduduk yang bekerja sebagai pelayan kedai makanan.

"Motor yang diguna oleh penduduk di sini jauh berbeza dengan keadaan motor di tempat lain. Kebanyakkan penduduk sini menggunakan motor lama buatan tahun 80 dan 90an," tambahnya lagi.

Namun begitu, terdapat juga anak-anak muda sekitar bandar ini yang sering mengadakan perlumbaan motor haram sama seperti di mana-mana tempat di semenanjung. 

"Ada polis pun kebanyakkan dari mereka hanya mendiamkan diri sahaja. Amat jarang tindakkan diambil. Barangan haram serta macam-macam lagi berleluasa dijual di sini. Macam tidak ada peraturan dan bebas seperti bandar koboi," ujarnya lagi. Dia ialah Andy, dan pernah menetap di Kuala Lumpur pada zaman 1986 sehingga 1991. Beliau terpaksa kembali ke Lahad Datu kerana menjaga ibunya yang sudah tua.

Usaha dari kerajaan Malaysia mempromosikan bandar ini telah menjadikan Lahad Datu sedikit demi sedikit sering dikunjungi pelancong. Namun akibat konflik yang melanda, bandar ini menjadi sepi dan tiada pelancong yang berani berkunjung ke sini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan