3 Jun 2013

BEKAS PENGERUSI SPR - RCI LEBIH BERKESAN

Bekas pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR),
Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman
Bekas pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman berpendapat bahawa pembaharuan yang ingin dijalankan ke atas suruhanjaya berkenaan lebih sesuai dilakukan melalui penubuhan suruhanjaya diraja dan bukannya jawatankuasa khas parlimen.

Abdul Rashid berkata “jalan pintas” seperti jawatankausa khas parlimen tentang pembaharuan pilihan raya tidak boleh berkesan untuk membawa perubahan sebenar.

“Jika kamu bawa cadangan seperti sebelum ini, ia tidak berkesan sepenuhnya. Penyelesaian yang mudah (jawatankuasa khas parlimen) tidak berkesan.

“Sebarang pembaharuan mesti dilakukan dengan menyeluruh. Oleh itu, negara perlu menubuhkan suruhanjaya bebas yang mempunyai kuasa yang tinggi. Lebih baik jika ia adalah satu suruhanjaya diraja,” kata Rashid ketika dihubungi Malaysiakini.

Selain itu beliau berkata lagi, suruhanjaya yang dicadangkan itu juga boleh membuat semakan terhadap SPR secara keseluruhan termasuk undang-undang pilihan raya dan memperbaiki SPR.

“Suruhanjaya itu hendaklah terdiri daripada pakar undang-undang, pakar perlembagaan dan pakar-pakar demokrasi pilihan raya.

“Tetapi jika ia adalah jawatankuasa yang terdiri sekali lagi daripada Ahli Parlimen, saya rasa tidak akan berjaya,” katanya.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak semalam mengumumkan bahawa kerajaan akan memindahkan kawal selia dan fungsi SPR kepada satu jawatankuasa khas yang diwakili anggota Parlimen daripada semua parti politik sama ada kerajaan atau pembangkang.

Katanya, ia bagi memperkukuhkan lagi kewibawaan dan kredibiliti suruhanjaya tersebut, yang pada waktu ini diletakkan bawah Jabatan Perdana Menteri.

“Dengan langkah ini, diharap kebebasan SPR tidak dipersoal lagi dan keyakinan rakyat terhadap SPR akan dapat diperkukuhkan,” kata Najib. Mkini

Baca isu yg melibatkan SPR:

Mantan pengerusi SPR,Tan Sri Abdul Rashid di suruh tipu…

Misteri pembatalan penggunaan dakwat kekal menjelang pilihanraya umum ke 12 telah terburai semalam di Wacana Perdana 9 bertajuk, “Pilihanraya Bebas dan Adil: Realiti atau Ilusi?” yang diadakan di sini malam tadi.

Forum yang berlangsung hampir tiga jam itu dipengerusikan oleh pensyarah UKM, Datuk Dr Mohd Agus Yusuf dengan tiga panelis – Datuk Paduka Husam Musa, Naib Presiden PAS, Tan Sri Abdul Rashid, mantan pengerusi Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) dan Datuk Seri Nazri Aziz, Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Dalam hujahnya, Rashid berkata beliau dan SPR telah berusaha untuk memperkenalkan penggunaan dakwat kekal pada tahun 2007, sebelum ia dibatalkan oleh pihak-pihak tertentu menjelang PRU-12.

“Usahlah cakap pasal dakwat kekal, saya dulu pun dah nak buat kalau orang tak sekat… (tepukan gemuruh), undang-undang dah buat, tapi ada orang yang tidak bersetuju dia sekat.

“Jadi ini nak buat pula, baguslah, buat lah, memang itu patut dibuat… SPR tak tipu, kalau ada penipuan, itu orang lain tipu. Jangan salahkan SPR. Orang lain saya tak tahu. SPR ikut undang-undang 100 percent, jangan salahkan SPR. Kalau undang-undang itu bodoh macam lembu, bodoh macam lembulah,” kata Rashid dalam forum itu.

Pada masa ini, Husam mencelah, “Tan Sri, kalau parti-parti lain itu menipu, SPR duduk sana buat apa?”

Rashid pula membalas, “SPR tak ada kuasa.” Balasan Rashid itu membuatkan hadirin yang penuh sesak dalam dewan itu tidak kering gusi dengan gelak ketawa.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan