25 Mei 2013

SPR TIDAK AKAN LAYAN PEMBANGKANG!

Datuk Wan Ahmad Wan Omar 
Gesaan pakatan pembangkang untuk mengadakan perdebatan bersama Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengenai proses Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) tidak akan dilayan.

Timbalan Pengerusi SPR Datuk Wan Ahmad Wan Omar berkata, perdebatan tersebut dilihat tidak perlu kerana pihak yang tidak berpuas hati mengenai PRU13 boleh memfailkan petisyen kepada mahkamah.

"Sebenarnya kami tidak takut untuk berdebat dengan sesiapa kerana kami melaksanakan kerja bersandarkan pada undang-undang dan peraturan tetapi untuk apa SPR perlu bagi publisiti murahan kepada mereka?

"Jika tidak puas hati failkan petisyen pilihan raya melalui saluran yang sahih, bukan dengan ke medan debat atau ke jalanan...SPR punya segala bukti tetapi kami perlu menghormati tempoh 21 hari petisyen," katanya kepada pemberita baru-baru ini.

Katanya, hujah-hujah ketika perdebatan tersebut tentunya akan digunakan pembangkang untuk petisyen yang akan difailkan.

"Pembangkang hendak sangat tunjukkan pada penyokong mereka kononnya mereka menang debat...dia berdebat nak cari publisiti, nak hujahkan perkara yang dia duk debat di jalan raya tu, walhal sekarang ini waktu petisyen pilihan raya, kita kena hormat undang-undang," katanya.

Dalam pada itu, beliau turut mengulas tindakan seorang pemuda dari Kuantan yang bertindak turun mengundi sebanyak dua kali bakal dikenakan hukuman dibawah Akata Pilihan Raya.

Ujarnya, pemuda tersebut bakal dikenakan hukuman penjara, denda serta hilang kelayakan mengundi selama lima tahun sekiranya didapati bersalah.

"Saya cukup kasihan dengan budak itu, dia rasa perbuatan dia begitu berani dan seronok sedangkan dia tidak sedar dia diperalatkan oleh orang politik.

"Kalaupun dia menyesal sudah tidak berguna, dia tidak boleh nafikan lagi kerana pengakuannya telah tercatit di bawah aduan polis...inilah akibatnya apabila hendak cuba menipu sistem pilihan raya," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan