14 Mei 2013

PRU13 - BARISAN NASIONAL PERLU CEMAS, PETISYEN AKAN DIHANTAR

Sinar Harian : WALAUPUN menang dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13), Barisan Nasional (BN) terpaksa akur ia masih tidak dapat menarik nafas lega.

Hakikat yang harus diakui ialah prestasi BN secara keseluruhannya merudum dan lebih sadis berbanding 2008.

Pada 2008, BN menang dengan 140 kerusi tetapi pada kali ini, jumlahnya menurun kepada 133 kerusi sahaja.

Pencapaian Datuk Seri Najib Razak untuk pilihan raya umum pertama yang dikendalikannya nampaknya lebih teruk berbanding zaman Pak Lah.

Paling tertekan tentunya MCA dan Gerakan yang jauh ketinggalan di belakang sehingga membawa kepada desakan pelbagai pihak supaya presiden parti masing-masing melepaskan jawatan.

MCA hanya menang tujuh daripada 37 kerusi yang ditandinginya. Gerakan pula hanya menang satu daripada 11 kerusi yang ditandingi.

Prestasi menyedihkan yang seolah-olah ditolak mentah-mentah oleh masyarat Cina di negara ini.

Ekoran kekalahan itu, Presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek bertegas bahawa parti itu sama sekali tidak akan menghantar wakilnya dalam Kabinet kerajaan.

Kekalahan teruk pada PRU13 juga membawa kepada peletakan jawatan kedua-dua presiden komponen utama BN itu. Satu perkembangan besar dalam arena politik negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam ucapannya ketika pengumuman PRU13 menyifatkan suatu ‘perdamaian kebangsaan’ perlu dilakukan.

Menurut Najib, tsunami Cina telah berlaku. Malah pengundi Cina juga disifatkan sudah termakan dengan dakyah-dakyah pembangkang.

Slogan “Ubah” dikatakan sudah memperdayakan kaum Cina di negara ini dengan cerita fantasi bahawa BN dapat ditumbangkan dan kerajaan baru akan dibentuk.

Ironinya, ia tidakseperti yang didendangkan selama ini.

BN berjaya membentuk semula kerajaan namun dalam keadaan suasana politik yang semakin membarah.

Najib menggunakan istilah ‘perdamaian kebangsaan’ dalam hasratnya memastikan kerukunan negara kembali utuh.

Wakil Cina perlu ada dalam Kabinet Najib dalam menghormati semangat perpaduan itu.

Penganalisis berpandangan, ia tidak patut sama sekali jika wakil pembangkang sepertimana yang dicadangkan bekas Menteri Penerangan. Sementelah mereka juga menolak.

Golongan cendekiawan, profesional Cina dicadangkan mewakili masyarakat itu jika wakil parti dalam kerajaan menolak untuk berada dalam Kabinet Najib.

Seminggu selepas pilihan raya, belum diketahui bila Najib akan membentuk barisan anggota Kabinetnya. Tarikh itu masih kekal teka-teki.

Beberapa nama seperti Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin dicadangkan supaya ia ditimbang untuk membarisi senarai Kabinet Najib memandangkan prestasi Ketua Pemuda Umno itu.

Kekalutan Pakatan Rakyat.

Ketika Najib sedang bergelut dalam mengukuhkan kembali kerajaan pimpinannya, Pakatan Rakyat (PR) yang turut tergugat dengan kalah di Kedah juga mungkin sedang memikirkan strategi terbaru bagi menawan Putrajaya.

Walaupun sekali lagi berjaya menafikan majoriti dua pertiga BN, PR yang dianggotai oleh Pas, PKR dan DAP masih lemah di beberapa sudut.

Masalah dalaman yang membelenggu terdedah apabila semua negeri sudah mengangkat sumpah kecuali Selangor.

Konflik menteri besar Selangor berlarutan sehingga seminggu selepas pilihan raya.

Malah antara punca pertama yang disebut-sebut sebagai punca kekalahan Pas di Kedah adalah kerana masalah dalaman parti itu.

Selangor juga akan begitu jika masalah dalaman ini tidak dapat diatasi.

Pertelagahan di antara bekas menteri besarnya dan exco kerajaan negeri menyebabkan urusan pentadbiran menjadi lemah sehingga menjejaskan sokongan rakyat.

Bahkan sehingga ke hari ini PR masih belum mengiktiraf keputusan PRU13.

Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim masih tegas mengatakan bahawa kemenangan PR sudah dirompak!

Tidak hairan mengapa selepas penat menjelajah di seluruh Malaysia sebelum PRU13, usaha itu diteruskan kini menerusi perhimpunan Suara Rakyat Suara Keramat: “Blackout 505″.

Berbondong-bondong juga rakyat datang “memeriahkan” himpunan ini. Sambutan diterima agak luar biasa.

Namun suatu persoalan menarik yang dibangkitkan oleh Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali

“adakah kita hendak berhimpun setiap hari, setiap minggu atau setiap bulan?”

Maka sebenarnya, episod politik Malaysia selepas PRU13, masih jauh perjalanannya.

Kabinet baru, sidang Dewan Rakyat penggal yang baru, menentukan barisan exco kerajaan negeri, transformasi yang ingin dibawa, belanjawan baru dan banyak lagi.

Justeru kepada parti yang menang dan menduduki kerusi kerajaan, yang kalah pula di pihak pembangkang, pasca PRU13 ini harus dilalui dengan penuh hemah dan maju ke hadapan untuk sebuah Malaysia yang lebih baik.

Bentuklah segala dasar baik demi keharmonian negara, jadilah kerajaan yang menyantuni rakyat dan kepada pembangkang, jadilah penyemak imbang yang tidak membuta-tuli!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan