23 Mei 2013

OPS SAYANG : BILIK RAHSIA TERBONGKAR

JOHOR BAHRU – Seramai 12 wanita warga Indonesia ditahan Bahagian Penguatkuasa Jabatan Imigresen Johor dalam serbuan Ops Sayang di premis kedai dua tingkat sekitar bandar raya ini, di sini, awal pagi semalam.

Ketua Bahagian Penguatkuasa di Jabatan Imigresen Johor, Masri Adul berkata, kesemua wanita terbabit yang ditahan dalam serbuan jam 1.05 pagi itu berusia antara 23 hingga 34 tahun.

Menurutnya, serbuan itu merupakan kali kedua dilakukan di lokasi sama dalam tempoh sebulan.

Bertindak atas aduan awam, anggota operasi melakukan serbuan ke lokasi. Anggota ops terpaksa membuka pintu pagar besi di bahagian tepi dan belakang premis.

“Selepas beberapa minit, pintu belakang berjaya dibuka, anggota operasi terus melakukan pemeriksaan di dalam premis.

“Hasilnya, 12 wanita warga Indonesia ditemui dan ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1959/63 (Akta 155),” katanya, di sini, semalam.”

Masri berkata, pihaknya turut menahan tiga lelaki tempatan berusia antara 29 hingga 55 tahun di bawah Seksyen 56 (1)(d) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155).

“Anggota operasi terpaksa memecahkan pintu kerana penjaga premis enggan memberikan kerjasama. Malah, dalam pemeriksaan anggota operasi menjumpai satu bilik rahsia terletak di bawah bangunan yang mempunyai lubang di-tutup dengan tilam.

“Selepas dibuka, terdapat seramai lapan individu bersembunyi di dalam lubang rahsia berkenaan termasuk seorang penjaga premis iaitu bapa ayam yang merupakan warga tempatan,” katanya.

Beliau berkata, premis terbabit menawarkan khidmat pelacuran kepada pelanggan dengan bayaran antara harga RM150 hingga RM180.

“Mereka ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Peraturan 11(7)(a) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 malah disiasat di bawah Akta Atipsom 2007.

“Kesemua yang ditahan dibawa ke Pejabat Imigresen bagi siasatan lanjut. Turut dirampas kondom dan minyak pelincir selain pelbagai barangan yang digeledah. Pemeriksaan tamat sekitar jam 1.50 pagi,” katanya.

– Sinar Harian Online

Tiada ulasan:

Catat Ulasan