22 Mei 2013

MUHYIDDIN PULA TUNJUK 'POWER'

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menggesa Persatuan Jawatankuasa Sekolah Cina Bersatu Malaysia (Dong Zong) membuat pengubahsuaian dalam Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) untuk memasuki institusi pengajian tinggi awam tempatan (IPTA).

Dong Zong pada 1 April lalu, sebelum pilihan raya umum ke -13 telah menemui Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak untuk berbincang tentang pengiiktirafan UEC, namun tiada sebarang kata putus dicapai.

"Pendirian kerajaan jelas, kalau ada perubahan pun kita mahu pihak disebelah sana buat pengubahsuaian dan perubahan selaras dengan dasar pendidikan negara dan berpandukan kepada undang-undang dalam Akta Pendidikan negara.

"Mana-mana pihak yang mahukan mereka diterima, mereka juga harus bersedia buat sedikit perubahan," kata Muhyiddin (gambar) merujuk kepada tuntutan kumpulan tersebut yang mahu UEC diiktiraf oleh kerajaan Malaysia.

Dalam perjumpaan sebelum ini dengan Dong Zong, Najib menyarankan keperluan pelajar dari sekolah aliran Cina untuk mempunyai sekurang-kurangnya satu kredit kertas Bahasa Malaysia dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) berserta dengan UEC, sebagai satu syarat untuk memohon memasuki IPTA.

Dalam sidang media hari ini di Kementerian Pengajian Tinggi di sini, Muhyiddin berkata setakat ini Dong Zong belum memberikan sebarang jaminan untuk membuat sebarang pengubahsuaian terhadap syarat yang diberikan sebelum ini.

"Sampai sekarang kita belum terima kata putus daripada Dong Zong untuk membuat pengubahsuaian.

"Dan bagi kami, jika mereka ikut dasar dan akta, ia tidak jadi masalah," kata beliau lagi.

Dong Zong merupakan kumpulan yang aktif memperjuangkan hak pendidikan masyarakat Cina serta lantang menggesa kerajaan untuk mengiiktiraf sistem persekolahan tinggi aliran Cina, kumpulan tersebut menguruskan 60 Sekolah Tinggi Persendirian Cina di sekitar Malaysia.

Sekolah vernakular Cina dan Tamil hanya wujud di peringkat sekolah rendah dan merupakan sebahagian daripada sistem pendidikan kebangsaan.

Walaupun bahasa Mandarin dan Tamil masing-masing digunakan sebagai bahasa pengantar, sukatan pelajaran yang digunakan ialah satu sistem pendidikan kebangsaan adalah sama dengan sekolah-sekolah kebangsaan menggunakan Bahasa Melayu.

Tiada sekolah Cina atau Tamil di peringkat sekolah menengah.

Tetapi terdapat 60 institusi swasta yang dikenali sebagai sekolah persendirian Cina, di mana Mandarin dan Bahasa Inggeris digunakan sebagai bahasa pengantar.

Walau bagaimanapun, sekolah-sekolah ini tidak diiktiraf oleh kerajaan.

Baru-baru ini sebaik saja berakhir pilihan raya 5 Mei, bekas hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mohd Noor Abdullah dan bekas pro-canselor Universiti Teknologi Mara (UiTM), Tan Sri Abdul Rahman Arshad menyeru kerajaan agar menghapuskan sekolah vernakular atas alasan ia menggugat perpaduan dan punca sokongan kepada pembangkang meningkat.

Dalam satu forum bertajuk "Wacana Post-Mortem PRU13: Bicara Kepimpinan dan Survival Ummah" anjuran Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) di Kuala Lumpur pada 12 Mei lalu, Mohd Noor berkata sistem persekolahan tersebut tidak diiktiraf dalam Perlembagaan Persekutuan negara.

"Menurut Perlembagaan, kita sepatutnya hanya ada satu aliran sekolah sahaja. Sepatutnya kita hapuskan sekolah jenis kebangsaan (SJK).

"Hapuskan oleh kerana Perlembagaan tak iktiraf sekolah jenis kebangsaan kerana adanya sekolah kebangsaan dan jenis kebangsaan, adanya sekolah Cina, India, ia memecah-belahkan rakyat," katanya Mohd Noor.

Abdul Rahman pula menegaskan sekolah vernakular sebagai punca perkauman semakin meluas dikalangan masyarakat pelbagai kaum dalam negara, serta mencadangkan kerajaan mengikut langkah negara jiran seperti Indonesia, Thailand dan Filipina yang menerima pakai penggunaan bahasa tunggal dalam dasar pendidikan mereka.

Sejurus kenyataan kontroversi itu, parti pembangkang Pakatan Rakyat (PR) mengecam kenyataan tidak bertanggungjawab kedua-dua individu tersebut dan menegaskan Perlembagaan Persekutuan melindungi sekolah vernakular dan pendidikan dalam bahasa ibunda, memetik Perkara 152 (1) (a) dan (b) dalam undang-undang tertinggi negara.

PR juga mengkritik dan mengecam kedua-dua individu tersebut kerana dilihat cuba mencetuskan ketegangan antara masyarakat Cina dan Melayu di dalam negara.

Malah, Pengerusi DAP Karpal Singh pada 15 Mei lalu membuat satu laporan polis ke atas Mohd Noor yang juga merupakan salah seorang panel dalam Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) atas kenyataan berbentuk hasutan tersebut dan menggesa Pejabat Peguam Negara mengambil tindakan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan