12 Mac 2013

PRU13: Pas Puchong akui hadapi tugas sukar


Soffiean yakin keprihatinan kerajaan PR menambah sokongan rakyat.
PUCHONG – Bagi Pas Puchong, tiga nama sudah dihantar untuk tapisan calon Dun Seri Serdang seperti mana yang diminta pimpinan parti politik itu di peringkat Pusat.

Namun bekas calon yang pernah bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-12 lalu, Ahmad Idzam Ahmad dikatakan tidak disenaraikan dalam nama yang dihantar itu.

Yang Dipertua Pas Puchong, Mohd Soffiean Ismail, 37, berkata, mengikut peraturan, hak mengemukakan calon dipegang pimpinan Kawasan manakala penentuannya adalah di peringkat Pusat.

Keputusan hasil mesyuarat, muktamad memilih tiga nama yang berada di dalam Jawatankuasa Harian.

Beliau bagaimanapun berharap tidak dipilih menjadi calon meski namanya antara yang dihantar.

“Keputusan untuk mencalonkan dibuat secara kolektif di peringkat Pas kawasan, yang menentukan calon hak eksklusif Pas Pusat, sebagai ahli parti siapa yang dicalonkan perlu akur,” katanya.

Menurut Soffiean, bukan mudah mengekalkan kuasa di Selangor kerana Umno serta Barisan Nasional (BN) memberi tumpuan lebih di negeri ini sejak Pakatan Rakyat (PR) mengambil alih pimpinan pada 2008.

Beliau juga tidak menafikan wujud kekurangan dalam pemerintahan PR berbanding Umno yang sudah mengurus tadbir sejak kemerdekaan.

Namun jelasnya, pelbagai strategi program bersama rakyat menggunakan saluran Pusat Khidmat dilaksanakan menunjukkan perubahan.

“Sebagai seorang ahli gerakan Islam, yang tentukan kemenangan sudah tentu ALLAH namun saya percaya jika rakyat menilai dengan tulus serta mendapat maklumat tepat apa yang dilakukan pihak kami, peluang menang mungkin ada.

“Lagipun pada PRU12 kita hanya kalah dengan majoriti 45 undi, sekiranya pengundi memberi ruang dan peluang untuk teruskan amanah di negeri ini, Insya-Allah sokongan mereka bersama PR,” katanya.

Mengenai isu berbangkit di Dun Seri Serdang, Soffiean berkata, paling ketara adalah soal lalu lintas, banjir di beberapa tempat dan sebagainya.

Katanya, pihaknya akan cuba menyelesaikan isu berbangkit jika menang namun katanya perkara itu tidak mudah jika pengundi lihat ia perlu diselesaikan dalam tempoh sepenggal memerintah sahaja.

Menyentuh soal calon yang dikatakan bertanding atas tiket Bebas, Soffiean berkata, melalui amalan demokrasi sistem pilihan raya sesiapa pun berhak jadi calon sekiranya layak.

Soffiean berkata, beliau melihat tindakan itu cenderung untuk memprotes terhadap satu parti politik selain untuk memecahkan undi.

“Bagi Pas kalau ada calon Bebas daripada ahli sendiri, saya anggap itu perkara yang melanggar etika parti. Setakat ini saya tidak tahu kalau ada calon Bebas daripada Pas, saya tegaskan tidak mungkin ada ahli kita buat begitu, kalau ada mungkin dia bukan ahli Pas,” tegasnya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan