14 Mac 2013

Peguam Tian Chua Fail Permohonan Batal Kes Hasutan


Peguam Tian Chua, N Surendran

Pasukan peguam Naib Presiden PKR Tian Chua akan memfailkan permohonan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi membatalkan dakwaan ke atasnya di bawah Akta Hasutan 1948 hari ini.

Menurut peguam Tian Chua, N Surendran, tuduhan tersebut adalah bersifat politik manakala Kerajaan Persekutuan telah mengumumkan bahawa akta itu akan dimansuhkan.

“Kita akan failkan di Mahkamah Tinggi untuk membatalkan tuduhan yang jahat dan tidak masuk akal ini kerana salah guna kuasa mahkamah dan politik.

“Tuduhan ini bersifat politik oleh kerajaan yang terdesak,” katanya ketika ditemui di luar Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur selepas Tian Chua didakwa pagi ini.

Surendran turut mendakwa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sendiri telah mengumumkan bahawa akta tersebut akan dimansuhkan dan digantikan dengan akta baru.

“Yang kedua kita telah beritahu mahkamah bahawa PM umumkan Akta Hasutan akan dimansuhkan. Ia salah di bawah undang-undang dan tidak sesuai digunakan lagi.

“Maknanya PM telah beritahu sesuatu yang menipu rakyat kerana tian didakwa atas akta ini,” ujarnya lagi.

Hari ini Tian Chua dituduh mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang menghasut melalui laman media sosial twitter-nya pada 11 Mac berhubung insiden di Lahad Datu, Sabah.

Ahli Parlimen Batu itu dituduh dibawah Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan 1948. Jika sabit kesalahan pertama, beliau boleh dikenakan denda tidak lebih daripada RM 5,000 atau penjara tidak lebih daripada tiga tahun, atau kedua-duanya sekali.

Jika sabit kesalahan kedua, beliau boleh dipenjarakan tidak lebih daripada lima tahun.

Sumber : MediaSelangorKu

Tiada ulasan:

Catat Ulasan