22 Februari 2013

Geng Samun Tewas..


PETALING JAYA - Walaupun tiada kerja tetap, sekumpulan remaja dikatakan mampu hidup mewah dengan pendapatan yang diperoleh melalui hasil kegiatan samun di restoran-restoran di sekitar Lembah Klang sejak tahun lalu.


Mereka yang kebanyakannya berusia belasan tahun, menyasarkan restoran beroperasi 24 jam di daerah ini dan di Sungai Buloh serta Puchong, dekat sini untuk disamun selain bertindak ganas termasuk tidak teragak-agak mencederakan mangsa terdiri daripada pelanggan dan pekerja restoran.

Setelah terlibat dalam kira-kira 18 kes samun dalam tempoh lebih setahun, akhirnya polis berjaya menumpaskan kumpulan penjenayah itu dengan tertangkapnya lima anggotanya dalam dua serbuan di Desa Mentari dan Kampung Lindungan di sini baru-baru ini.

Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk A. Thaiveegan berkata, kumpulan penjenayah dianggotai remaja berusia dalam lingkungan 17 hingga 19 tahun dan seorang pemuda berusia 21 tahun itu dikesan mula aktif menyamun restoran 24 jam sejak tahun lalu.

Beliau berkata, suspek yang memakai topi keledar dan bersenjatakan parang memilih waktu lewat malam atau awal pagi untuk melakukan jenayah tersebut.

"Sebaik sahaja memasuki restoran, suspek akan bertindak ganas bagi memaksa pelanggan dan pekerja menyerahkan barang berharga termasuk wang dari kaunter juruwang," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya di sini hari ini.

Thaiveegan berkata, hasil maklumat risikan dan bantuan orang awam, polis akhirnya berjaya memberkas dua anggota kumpulan penjenayah berusia 17 dan 18 tahun dan merampas pelbagai jenis barang dipercayai hasil samun dalam serbuan di sebuah hotel bajet di Desa Mentari kelmarin.

Beliau berkata, kedua-dua suspek kemudian membawa polis ke satu kawasan di Desa Mentari yang membawa kepada penemuan sebuah kereta Perodua Myvi curi yang digunakan suspek semasa melakukan samun.

Katanya, hasil siasatan terhadap kedua-dua suspek, polis menangkap dua lagi rakan mereka di sebuah kawasan di Desa Mentari pada keesokan harinya bersama hasil samun lain termasuk sebuah lagi kereta yang pernah dilaporkan hilang iaitu jenis Kia Picanto.

"Semalam juga, polis dapat memberkas seorang lagi ahli kumpulan penjenayah itu di Kampung Lindungan.
"Hasil tangkapan kelima-lima suspek, polis menemukan semula dua buah kereta curi, komputer riba, beberapa telefon bimbit dan pelbagai jenis peralatan digunakan semasa menyamun seperti parang, rambut palsu dan pemutar skru," katanya.

Thaiveegan berkata, polis ingin mencari dua lagi rakan suspek yang masih bebas iaitu R. Parames, 19, memiliki kad pengenalan bernombor 940810-14-6651 beralamat terakhir di B6-07-12, Blok 6, Jalan PJS 6/6D, Desa Mentari.
Katanya, seorang lagi ialah R. Shasi Kumar, 18, memegang kad pengenalan 950812-14-7489 dan beralamat di Blok C-2-5, Projek Perumahan Rakyat (PPRT) Seksyen 8, Kota Damansara.

Beliau berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kedua-dua suspek diminta menghubungi mana-mana balai polis berhampiran untuk membantu siasatan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan