21 Februari 2013

Peniaga di Puchong mengeluh rugi akibat banjir

20/02/2013

PUCHONG - Para peniaga di sebuah pusat membeli-belah di Puchong mengeluh kerana terpaksa menanggung kerugian besar ekoran banjir yang melanda premis perniagaan mereka semalam.



Tinjauan Bernama mendapati pusat membeli-belah IOI Mall itu dibuka seperti biasa hari ini namun ramai peniaga serta pekerja bertungkus-lumus membersihkan premis masing-masing daripada sisa kotoran banjir.

Pemilik butik, Ah Ling, 38, berkata, air banjir memenuhi premisnya sehingga ke bahagian belakang tempat penyimpanan stok pakaian. "Boleh dikatakan saya rugi lebih RM4,000 selain kehilangan pelanggan disebabkan banjir itu,” katanya ketika ditemui pemberita semalam.

Peniaga kedai kasut, Koo Chuu Hoong, 42, berkata, dia mengalami kerugian lebih RM5,000 akibat kejadian tersebut. "Habis kotak-kotak kasut yang disimpan di stor dimasuki air, menyebabkan sebahagian kasut tidak lagi boleh dijual.

Seorang pekerja sebuah kios menjual penapis air Alphamax Industry, Khalizza Nur, 22, berkata, air naik hampir paras lutut menyebabkan beliau terpaksa mengalihkan penapis ke atas kerusi. "Walaupun tiada barang yang rosak tetapi kami telah kehilangan beberapa pelanggan. Saya tidak pernah tengok kejadian seperti ini dan saya rasa ini banjir paling teruk setakat ini,” katanya.

Beliau mendakwa banjir itu berlaku mungkin disebabkan longkang besar berhadapan pusat berkenaan yang dipenuhi pasir daripada kerja pembinaan berhampiran.

Sementara itu, Pengurus Besar IOI Mall, Ronnie Francis berkata, sebanyak 140 kenderaan yang diletakkan di ruang letak kereta pusat beli-belah itu terjejas teruk. "Sebanyak 15 kereta terpaksa dialih menggunakan lori tunda akibat banjir kilat itu,” katanya.

Francis berkata, kerja-kerja pembersihan pusat beli belah itu telah dijalankan sejak kelmarin dan selesai menjelang tengah hari semalam. "Dua tingkat tempat letak kereta bawah tanah telah dibersihkan dan kami memberhentikan sementara operasi eskalator untuk tujuan keselamatan,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan