24 Februari 2013

DAP mahu tanding 75 kerusi


KUALA LUMPUR - Setelah pergolakan yang berlaku di beberapa negeri, pakatan pembangkang terus berantakan apabila Ahli Jawatankuasa DAP Kedah, S. Neelamekan membuat kritikan terbuka terhadap Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Pas.


Lebih daripada itu, beliau yang juga Pengerusi DAP Cawangan Lunas turut mendesak agar parti tersebut bertanding sehingga 75 kerusi Parlimen di seluruh negara agar menjadi 'tulang belakang' kepada pakatan itu dalam merealisasikan mimpi ke Putrajaya.

Menurutnya, berdasarkan senario semasa, DAP jelas berpotensi membawa kemenangan kepada pakatan itu berbanding PKR yang sebelum ini telah banyak kali gagal memenangi kerusi ditandingi terutamanya pada Pilihan Raya Negeri Sarawak.

"Di Sarawak PKR bertanding sehingga 45 kerusi tetapi hanya menang tiga daripadanya. DAP pula cuma diberikan enam kawasan walaupun meminta 10 kerusi dan kami menang kesemuanya.

"Sudahlah begitu, anda perhatikan pula berapa ramai daripada wakil rakyat dan ahli mereka melompat parti. Maka sewajarnya DAP diberi ruang untuk bertanding di lebih banyak kawasan pada pilihan raya umum akan datang," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas pergeseran yang berlaku antara DAP dan PKR di Johor berhubung pengagihan kerusi manakala di Kedah, 11 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pas Kedah mendesak Menteri Besarnya, Datuk Seri Azizan Abdul Razak meletakkan jawatan.

Mengulas lanjut katanya, keputusan untuk membenarkan DAP bertanding di lebih banyak kerusi bakal melenyapkan tuduhan bahawa Malaysia akan bertukar menjadi negara Islam sepenuhnya.

"Pada pilihan raya umum lalu, undi bukan Melayu merupakan faktor utama kemenangan pakatan rakyat. Bagi meningkatkan sokongan mereka, DAP perlu diberi ruang yang lebih.

"Biarpun PKR merupakan parti berbilang kaum, pendiriannya yang sering berubah-ubah terutamanya berkaitan penubuhan negara Islam telah mencelarukan pemikiran pengundi. Lebih-lebih lagi apabila Datuk Seri Anwar Ibrahim menyokong pelaksanaan hudud di Kelantan," ujarnya.

Menurut Neelamekan, Pas juga semakin 'lemah' dalam mentadbir negeri Kedah dan ketika ini berdepan pula dengan pelbagai konflik dalaman parti selain sentiasa berperang mulut dengan DAP berhubung isu negara Islam.

Pada Pilihan Raya Umum 2008, DAP menang 28 daripada 47 kerusi yang ditandingi iaitu pencapaian sebanyak 59.57 peratus berbanding PKR yang hanya menang 31 kerusi daripada 97 kawasan Parlimen, manakala Pas pula paling sedikit iaitu 28 kerusi.

Dalam pada itu, Neelamekan turut membidas sikap 'pilih bulu' Presiden PKR, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail yang secara terang-terangan menyokong kenyataan Pengerusi PKR Johor, Datuk Chua Jui Meng.

"Wan Azizah hanya membela dan memuji Jui Meng tanpa sebarang siasatan malah membiarkan ahli-ahli PKR untuk mengeluarkan kenyataan tidak sopan terhadap Pengerusi DAP, Karpal Singh.

"Wan Azizah harus ingat, Karpal Singh merupakan penyelamat suaminya selama hampir dua dekad malah beliau (Karpal) juga merupakan ikon pakatan rakyat selama ini," tegasnya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan