1 Jun 2013

JOM!! KITA MULAKAN NEGARA BARU!

Tidak jemu-jemu saya bercakap tentang sebuah negara baru dengan situasi politik yang baru dan segala-galanya baru. Mahu tidak mahu kita wajar menerima yang siasah dan kerajaan kita sudah tidak boleh diselenggara dengan baik dan sejajar dengan keadaan masa moden kini. 

Semuanya sudah berkecai walaupun masih ada yang berkata negara kita ini sebuah negara yang menghampiri taraf negara maju.

Ibarat sebuah rumah yang sudah tua, kita akan terpaksa berbelanja banyak tanpa mendapat sebuah rumah yang baik seperti semasa rumah itu masih baru dahulu. Hendak diperbaiki atapnya, terpaksa memperbaiki sekali tiangnya. 

Apabila hendak memperbaiki tiangnya terpaksa pula menukar rasuknya. Untuk menukar rasuk rumah itu terpaksa pula menanggalkan dinding-dindingnya dan berbagai-bagai lagi benda yang harus ditukar dan diperbaiki. Asalnya dahulu ialah untuk menukar atapnya sahaja. Akhirnya seluruh rumah yang tua itu terpaksa ditukar.

Begitu juga dengan negara kita. Rasuah mesti dihentikan, tetapi sebelum memusnahkan sikap rasuah itu terpaksa ditukar pimpinannya dahulu, hendak menukar kepimpinan terpaksa menukar pemikiran rakyat pula dahulu.

Pendeknya kita tidak boleh menukar satu kelemahan secara satu lepas satu kerana terlalu banyak isu dan kelemahan yang telah terabai selama ini kerana kepentingan peribadi kepimpinan yang berkuasa dan ‘warlords-warlords’ yang mempengaruhi keadaan negara.

Bagi saya kita terpaksa memulakan negara ini dari ‘basic’. Kita mesti melakukannya berdasarkan kepada ‘assumptions’ yang kita belum ada parti dan kerajaan. Tujuannya ialah untuk memulakan ‘formation’ sebuah kerajaan yang baru yang terdasar kepada kehendak masa dan zamannya. Kita mulakan seperti kita memulakan negara ini semasa kita belum mencapai kemerdekaan dahulu.

Kita tentukan matlamat kita yang ‘ultimate’ dahulu, dan selepas itu baru digubal segala-gala yang baru untuk mencapai matlamat yang ‘ultimate’ tadi dan kita mulakan sebuah kerajaan dan negara yang baru.

Kita masih ada pemimpin yang berkebolehan untuk memulakan sebuah negara baru ini walaupun mungkin berada diluar kerajaan. Semua pemimpin yang mewakili semua kaum dan wilayah, duduk berunding dengan serius dan berusaha untuk mencapai kata sepakat bagi mencipta sebuah negara dan kerajaan yang baru.

Kita tidak boleh lagi bertahan dengan ketebalan semangat perkauman yang jelas-jelasnya semakin parah walaupun berbagai slogan dicipta seperti 1Malaysia dan sebagainya. Namun keadaan negara masih begitu parah dan perkauman masih bermain dalam politik kita.

Kita mempunyai Perlembagaan yang kukuh, tetapi selama ini kita sendiri yang melemahkannya dan terlalu berani melanggarnya. Pilihanraya 13 yang baru berlalu ini, jelas menunjukkan yang mewujudkan situasi politik baru amat-amat diperlukan. Semuanya ini adalah disebabkan kelemahan pimpinan kedua-dua belah pihak, kerajaan dan pembangkang.

Kemenangan politik bukan setakat memenangi perbahasan kerana jika kedua-dua belah pihak sudah hilang segala ‘clue’ bagaimana hendak menguruskan negara majmuk seperti kita ini memenangi perbahasan itu tidak akan membawa apa-apa makna. Masing-masing seolah-olah menegakkan benang yang basah dan sampai bila benang itu tidak akan tegak.

Akhirnya yang menang pun tidak betul dan yang kalah lagi tidak betul. Kita mesti hentikan membenarkan yang salah dan menyalahkan yang benar. Kita tidak boleh menjadi pembawa dalil hari hendak kiamat sampai bila-bila.

Kita memerlukan ‘political will’ yang kuat untuk melakukan kebaikan dengan pembaharuan ini. Kita wariskan kepada generasi yang akan datang sebuah negara yang mempunyai politik serta siasah yang kuat serta aman dan damai kehidupan mereka. Kita telah pun melakukan pembaharuan ini sebelum ini.

Kita telah melakukannya tatkala perundingan mencapai kemerdekaan diantara Tunku dengan pimpinan MCA dan MIC dan ia juga sejurus malapetaka 13 Mei 1969 dahulu. Tidak ada sebab ia tidak boleh dilakukan lagi. Bezanya kali ini kita lakukan secara ‘pre emptive’ tanpa menunggu malapetaka terjadi terhadap negara kita.

Perlu diingatkan pandangan ini bukan untuk menjurus kepada kerajan perpaduan. Ia adalah sebuah kerajaan baru yang sebenarnya. Lain-lain perkataan kita mewujudkan yang baru sambil mengiktikadkan yang kita belum lagi mempunyai sebuah negara dan kerajaan sebelum ini. Maksudnya ‘brand new government entirely’.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan