14 Mei 2013

TAN SRI KHALID ABU BAKAR KETUA POLIS BARU?

KUALA LUMPUR – Berikutan persaraan wajib Ketua Polis Negara (KPN) Tan Sri Ismail Omar, Jumaat ini, siapa yang bakal menggantikannya mula menjadi topik perbincangan hangat di kalangan warga polis dan juga rakyat.

Ismail, yang lahir pada 17 Mei 1953 di Kulim, Kedah, dilantik sebagai KPN yang kesembilan pada 13 September 2010, menggantikan Tan Sri Musa Hassan.

Mengikut tradisi, tugas menerajui pasukan Harimau Biru itu diserahkan kepada timbalannya, Tan Sri Khalid Abu Bakar.

Bagaimanapun, jawatan KPN dan timbalanya merupakan Jawatan Khas di bawah Perkara 140 (4) dan (5) Perlembagaan Persekutuan di mana pelantikan tertakluk kepada perkenan Yang di-Pertuan Agong.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak akan mendapatkan perkenan baginda sebelum mengumumkan pengganti Ismail.

Khalid, 55, yang berasal dari Seremban, memulakan karier sebagai pelatih inspektor pada 5 Disember 1976 sebelum diberi beberapa tugas mencabar.

Pada 1997, beliau dilantik Ketua Jabatan Anti Narkotik Kedah diikuti Ketua Jabatan Pengurusan Polis Pahang (2003), Ketua Polis Daerah Kuantan (2003), Ketua Polis Negeri Sembilan (2005), Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman (2006), Ketua Polis Selangor (2007), Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman (2010).

Pada 14 April, 2011, Khalid dilantik sebagai Timbalan KPN, menggantikan Datuk Hussin Ismail yang bersara.

Menurut sumber polis selain Khalid, lapan lagi pemimpin tertinggi polis turut layak untuk dilantik ke jawatan tersebut.

Mereka terdiri daripada Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Seri Mohd Bakri Zinin, Pengarah Pasukan Petugas Khas (Operasi/Counter Terrorism) Bukit Aman Datuk Mohamad Fuzi Harun dan Pengarah Cawangan Khas Bukit Aman, Datuk Akhil Bulat.

Selain Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Datuk Wira Syed Ismail Syed Azizan, Pengarah Jabatan Pengurusan Datuk Mortadza Nazarene dan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Datuk Noor Rashid Ibrahim.

Turut dalam senarai yang layak ialah Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Datuk Wira Salleh Mat Rashid dan Pengarah Jabatan Logistik Datuk Zulkifli Abdullah.

KPN yang baharu bagaimanapun perlu menghadapi pelbagai cabaran termasuk memperbaiki imej dan meningkatkan tahap keyakinan serta kepuasan masyarakat terhadap tahap keselamatan sejajar dengan matlamat mencapai perkhidmatan polis bertaraf antarabangsa.

Naib Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) Tan Sri Lee Lam Thye berkata pemimpin baharu PDRM perlu mengurangkan indeks jenayah untuk mengembalikan kepercayaan orang ramai terhadap pasukan itu.

“Memang mustahil untuk hapuskan jenayah sehingga ke tahap sifar, tetapi PDRM boleh mengurangkan kadarnya dengan drastik melalui pelbagai kaedah,” katanya.

Beliau turut menyarankan agar polis menggiatkan kerjasama dengan orang awam untuk membanteras jenayah secara lebih efektif.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan