18 Mei 2013

MAHU 'INI KALILAH' DAPAT 'INNALILLAH'


Datuk Seri Najib Tun Razak telah menubuhkan Kabinetnya 10 hari selepas rakyat memberinya mandat dalam PRU13 pada 5 Mei lalu. Dengan ini, bermulalah pentadbiran beliau untuk tempoh lima tahun akan datang, sehingga PRU14 diadakan nanti.

Di negeri-negeri, menteri besar dan ketua menteri juga menubuhkan kerajaan masing-masing untuk melaksanakan tanggungjawab diamanahkan rakyat.

Bagi majoriti rakyat, mereka mahu melihat ke hadapan dan meneruskan kehidupan dalam suasana aman dan stabil. Mereka menyahut seruan Perdana Menteri untuk membina penyatuan nasional.

Mereka faham bahawa politik yang keterlaluan dan tidak berkesudahan bukan sahaja menjejas kesejahteraan rakyat malah boleh merosakkan negara. Mereka mahu melihat negara ini terus berkembang dan membangun, dengan rakyat hidup aman dan bersatu padu.

Bagi galakkan perpaduan di kalangan rakyat pelbagai kaum dalam semangat 1Malaysia, sekumpulan pengguna media sosial memulakan kempen Kita Kawan Mah menggunakan facebook. Dalam dua hari, kempen ini telah menerima lebih 10,000 likes.

Tiga hari selepas hari mengundi, ada facebook dipanggil One Bangsa One Negara yang turut menerima sambutan menggalakkan daripada pengguna media sosial.

Orang yang memulakan inisiatif ini ialah Rachel Ng, seorang peguam muda berumur 27 tahun, yang mahu meraikan kepelbagaian masyarakat Malaysia. Manakala NGO bernama Random Alphabets yang dimulakan Zain HD menggalakkan seramai mungkin penduduk untuk berkelah di Taman Tasik Kuala Lumpur pada 11 Mei lalu dan memakai pakaian warna Jalur Gemilang melalui kempen #SayaMahuPicnic.

Usahawan sosial Anas Zubedy melancarkan kempen #SaySomethingNice, yang menggalakkan semua rakyat Malaysia untuk berbudi bahasa dan bersopan santun dalam percakapan, perbualan, menghantar mesej, membuat pengumuman, menulis artikel atau sebarang notis.

Kempen ini berjalan selama 17 hari dari Hari Merdeka hingga Hari Malaysia bertujuan merapatkan muhibah di kalangan warganegara, termasuk yang tinggal di luar negara.

Menurutnya, mengakui kesalahan dan memaafkan orang lain serta mengelak mengutuk atau melahirkan perasaan benci terhadap pihak lain boleh membantu meredakan suasana resah di dalam masyarakat, justeru membantu ke arah penyatuan nasional.

Deejay radio beberapa stesen termasuk Red FM, 98.8FM, Suria FM dan Capital FM tidak mahu ketinggalan.

Mereka memulakan kempen dipanggil Kamilah Malaysia. Mengambil lagu popular kumpulan Freedom tahun 1980an bertajuk Mulanya Di Sini sebagai tema, mereka membincangkan isu-isu menarik dengan beberapa wira negara terdiri daripada personaliti terkenal seperti tokoh sukan dan chef hebat.

Turut terbabit ialah pihak media. Kempen #MyWant telah dimulakan secara online oleh sebuah akhbar harian bagi menggalakkan warganegara melahirkan perasaan dan pandangan mereka kepada pemimpin dan tokoh politik berhubung perpaduan nasional.

Manakala kesemua ini dianggap usaha yang baik dan dialu-alukan, ada pihak yang tidak berpuas hati kerana kalah dalam PRU13, justeru memilih untuk terus berdemonstrasi.

Mereka tidak menerima ketentuan ALLAH SWT, menolak qada dan qadar dan cuba menjustifikasikan revolusi untuk mengguling kerajaan yang telah dipilih secara demokrasi.

Padahal ruang untuk mencabar keputusan pilihan raya melalui mahkamah dan proses undang-undang secara konvensyen terbuka luas.

Walaupun amaran pihak polis dan nasihat alim ulama telah diberi, mereka tetap berdegil untuk meneruskan cara yang salah dan tidak bertamadun untuk merampas kuasa.

Walau apa pun dilakukan, jika tidak diredai ALLAH SWT, usaha itu tetap gagal. ALLAH menetapkan kepada siapa ingin diberiNya amanah dan tanggungjawab.

Manusia boleh mencuba, malah berdoa dan bersolat macam-macam, tetapi ALLAH yang menentukan. Sudah ditakdirkan Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak menjadi perdana menteri walaupun itulah keinginannya yang meluap-luap. Juga ditakdirkan Datuk Seri Hadi Awang tidak akan menjadi perdana menteri, dan Pas tidak boleh memerintah negara ini, cuma sekadar Kelantan sahaja.

Cita-cita Pakatan Rakyat ialah untuk memenangi PRU13 dan memerintah Malaysia dengan slogan “Inikalilah”, tapi rakyat sudah tolak hasrat mereka dengan “Innalillah”.

DR MASHITAH IBRAHIM

Tiada ulasan:

Catat Ulasan