14 Mei 2013

KHALID IBRAHIM ANGKAT SUMPAH HARI INI


SHAH ALAM - Tan Sri Khalid Ibrahim dijangka akan mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Selangor setelah pelbagai spekulasi timbul ekoran penangguhan lantikan bagi jawataan itu.

Beliau dijangka akan mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Selangor untuk penggal kedua di hadapan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah hari ini.

Memetik daripada portal The Star online, Speaker Dewan Undangan Negeri Selangor, Datuk Teng Chang Kim menyatakan masih belum menerima sebarang jemputan untuk majlis angkat sumpah itu.

“Kemungkinan jemputan untuk upacara angkat sumpah akan diterima hari ini dan paling awal pun ia diadakan pada Selasa,” katanya.

Pertikaian bagi jawatan itu berlarutan sejak seminggu lalu sebaik sahaja keputusan Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) memihak kepada Pakatan Rakyat di negeri itu.

Kelayakan Parti Keadilan Rakyat (PKR) untuk memegang jawatan itu mula dipersoal apabila hanya memenangi 14 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) berbanding PAS dan DAP masing-masing 15 kerusi.

Berdasarkan syarat utama untuk pelantikan Menteri Besar di Selangor, Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Selangor telah menetapkan bahawa menteri besar mestilah dari dalam kalangan Melayu Islam.

Dalam pertikaian itu, kedua-dua parti, PAS dan DAP menyatakan sokongan untuk Tan Sri Khalid Ibrahim kekal sebagai Menteri Besar Selangor bagi penggal kedua ini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan