24 Mei 2013

KETUA AMK SELAR PRESIDEN PAS

AIDCNews – 24/05/13 – Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Shamsul Iskandar Mohd Akin dilaporkan Antarapos telah menyelar Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang kerana mencerca calon PKR semasa tempoh berkempen dan meletakkan calon-calon yang bertindih semasa Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) lalu.

“Kita mencela tindakan mencerca calon parti rakan tanpa membawa sebarang bukti,” kata Shamsul dalam ucapan dasar Kongres Nasional Wanita PKR dan AMK ke-9, di Petaling Jaya hari ini.

“Mewakili saf kepimpinan AMK, rasa kesal tidak boleh kami sembunyikan di saat masih ada pimpinan Pakatan Rakyat yang seolah-olah benak tidak memahami tahalluf siyasi (kerjasama politik) sehingga menyaksikan masih wujud pertembungan saat-saat akhir di beberapa kawasan seluruh Malaysia,” tambah beliau.

Pada PRU13, Presiden Pas, Abdul Hadi menuduh calon-calon PKR dipilih secara ‘tangkap muat’ kerana ada di kalangan mereka yang terlibat dengan pengedaran pil kuda , menjual kerusi dan berkecenderungan komunis.

Justeru itu, kata Abdul Hadi, Pas tidak ada pilihan lain kecuali meletakkan calon sendiri di kerusi-kerusi tertentu, di mana berlaku pertembungan Pas-PKR di tujuh kerusi semasa penamaan calon Sabtu lalu.
TRANSKRIP PENUH UCAPAN DATUK SERI ABDUL HADI AWANG 
Ada orang kata, ini pemberita hendak ambik berita bolehlah, macam mana hendak menyelamatkan negara, PAS dok berlawan dengan Keadilan, bertindih parti pasal apa, PAS bertindak bertanding di beberapa tempat, berlakunya pertindihan ini kerana hendak menyelamatkan Pakatan Rakyat, kita tak mahu kerajaan kita jatuh macam Perak, merintah sekejap. 
PAS mempunyai jentera-jentera yang paling ramai di seluruh negara, PAS tidak menentang calon kawan-kawan, dalam pilihanraya, tetapi kalau ada calon yang kita khuatir, calon yang tangkap muat, yang menyebabkan berbagai-bagai kemungkinan berlaku, maka PAS mesti bertindak, ini berlaku pertindihan. 
Di Johor berlaku pertindihan, kerana sebabnya, kita tunggu rakan kita mari tak mari masuk nama calon, sikit lagi hendak tamat tak mari-mari, kita standby, takut menang tak bertanding, kerana ada hok jual calon ni ada, PAS terpaksa bertanding, bila PAS masuk barulah dia masuk. 
Ada calon-calon yang kita khuatir, calon-calon yang kita ada maklumat, tukang edar pil kuda, nak jadi calon macam mana, edar pil kuda… orang PAS tak boleh kerja calon macam ini, terang-terang saya sebut, orang Keadilan pun, tak terima, sedar-sedar mari jadi calon, dengar cerita edar pil kuda, tak perlu sebutlah di mana-mana. 
Ada calon yang menjulang gambar Lenin, gambar Stalin, macam mana orang PAS hendak sokong, orang PAS kerjasama dengan Keadilan dengan DAP saja, tak kerjasama dengan parti Stalin, parti Lenin, ada orang parti Stalin, parti Lenin, menjulang Lenin dan Stalin, (sebut pun tak berapa betul dah, nama bukan nama kita) orang Rusia, Karl Marx, gambar Karl Marx duduk dalam markaz, nak suruh orang Pas kerja, Karl Marx ni macam Nabi Muhammad dialah, yang menganut idealogi komunis, ideologi komunis diharamkan di Malaysia, dia tepek (lekat) gambar Karl Marx dalam markaz, macam mana orang PAS hendak kerja. 
Ha inilah sebabnya bertindak bertanding itu…nak menyelamatkan Pakatan Rakyat, kita tak mahu jadi macam Perak, perintah sekejap pastu jatuh, PAS bertindak, PAS tetap bersama Pakatan Rakyat, PAS bertindak untuk memelihara, keteguhan bukan saja masa pilihanraya, keteguhan selepas kita diberikan kemenangan oleh Allah SWT, supaya ‘syaitan-syaitan’ tidak boleh masuk Pakatan Rakyat. 
Itu penjelasan saya, boleh masuk surat khabar esok. Supaya mereka yang tidak faham masalah ini jadi faham, kita tak ada masalah kerjasama dengan yang sepenuhnya Keadilan, dengan yang sepenuhnya DAP tetapi mari kaki-kaki haru ini jadi calon, ini PAS tak boleh terima, kerana kita hendak kerajaan yang teguh dan kuat, kerajaan yang boleh memerintah sebagaimana yang kita janji dalam Buku Jingga.
“Pas bertindak bertanding di beberapa tempat (yang) berlakunya pertindihan ini kerana nak menyelamatkan Pakatan. Kita tak mahu kerajaan kita jatuh macam Perak, (hanya) memerintah sekejap.

“PAS mempunyai jentera yang paling ramai di seluruh negara. Yang kita khuatir adalah calon tangkap muat yang boleh menyebabkan berbagai kemungkinan boleh berlaku, maka Pas perlu bertindak,” ujarnya.

Pertembungan Pas-PKR itu berlaku di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Besi, Seberang Takir dan Kota Putera (Terengganu), DUN Kota Damansara (Selangor), DUN Sungei Aceh (Pulau Pinang) dan DUN Panti (Johor) serta Parlimen Labuan.

Di DUN Damak, Pahang pula, Abdul Hadi secara terbuka menyokong calon Bebas, Koh Boon Heng yang juga Timbalan Pengerusi DAP Pahang bertanding di kawasan itu.

Sokongan Pas itu tidak disenangi PKR kerana calon PKR, Jamaluddin Abd Rahim juga bertanding di DUN itu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan