14 Mei 2013

CEO AIRASIA - AZRAN OSMAN RANI CEMUH UTUSAN RASIS

KUALA LUMPUR – Seorang ahli korporat Melayu baharu yang berkhidmat dengan syarikat Air Asia milik Tan Sri Tony Fernandes mencemuh Utusan Malaysia sebagai akhbar rasis.

Ketua Pegawai Eksekutif Air Asia-X, Azran Osman-Rani membuat kenyataan menerusi akaun Twitter serta Facebook miliknya untuk menyatakan pendirian meluatnya terhadap Utusan Malaysia yang dilabelnya tidak mewakili Melayu Malaysia.

Azran secara terbuka menerusi kedua-dua akaun laman sosial miliknya itu menyalahkan Utusan Malaysia sebagai rasis kerana menyiarkan artikel di muka hadapan akhbar itu bertajuk Apa lagi Cina mahu pada 7 Mei lalu.

Menerusi akaun Facebook beliau, Azran menulis: “I am Malaysian. I am anti-racism. I am disgusted by Utusan’s editorial stance. (Saya rakyat Malaysia. Saya anti-perkauman. Saya meluat dengan pendirian pengarang Utusan).”

Dalam akaun Twitter pula, beliau juga menyatakan pihaknya menarik balik iklan AirAsia di Utusan.

Azran turut menyifatkan Utusan Malaysia sudah tidak relevan dengan jumlah pembaca semakin merosot, walaupun hakikatnya jualan akhbar ini bukan sahaja tidak merosot, malah meningkat sebanyak 1,000 naskhah sehari.

“Utusan sudah lama tidak relevan. Jumlah pembaca merosot kerana minda pengarang sempit. Utusan tidak mewakili Melayu Malaysia,” tulis ahli korporat Melayu baharu itu.

Utusan Malaysia pada 7 Mei lalu menyiarkan laporan muka hadapan bertajuk ‘Apa lagi Cina mahu?’ yang mempersoalkan undi kaum Cina yang menyokong DAP hampir 100 peratus.

Laporan berkenaan mendapat liputan meluas sehingga seorang wartawan berketurunan Cina mempersoalkannya di hadapan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada sidang akhbar beliau.

Bagaimanapun, Najib dengan tenang menjawab: “Awak salahkan Utusan, bagaimana pula akhbar berbahasa Cina? Adakah anda kata sesetengah orang memperkatakan benda yang betul setiap masa?.”

Dalam pada itu, Azran turut memperlekehkan Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) apabila menyifatkan bahawa fikiran sempit pertubuhan itu yang membuatkan orang Melayu terkebelakang.

“Perkasa? I think Malaysia has proven that they are irrelevant. Its Perkasa’s narrow-mindedness that’s holds Malays back. (Perkasa? Saya fikir Malaysia telah membuktikan bahawa mereka tidak relevan. Fikiran sempit Perkasa yang menyebabkan Melayu ketinggalan.)”

Tiada ulasan:

Catat Ulasan