1 April 2013

MALAYSIA ADALAH NEGARA ISLAM!!

BERPEGANG pada dasar kepartian jumud, ada kalangan orang Melayu tidak bersetuju dengan kenyataan Tun Dr. Mahathir Mohamad semasa beliau menjadi Perdana Menteri yang mengisytiharkan Malaysia sebuah negara Islam.

Di atas kenyataan tersebut maka ada kelompok Melayu yang mewakili sebuah parti menafikan hakikat ini. Mereka mengatakan sebaliknya yakni Malaysia bukan negara Islam. Pertembungan dua kefahaman ini mengakibatkan timbul kesan negatif terhadap Melayu dan Islam dalam negara ini.

Antara dua kefahaman tentang Malaysia sama ada negara Islam ataupun tidak merupakan satu polemik yang mesti dicari kebenaran. Mereka yang mendakwa Malaysia bukan negara Islam adalah kerana undang-undang jenayah yang melibatkan zina, minum arak, qazaf, mencuri, pemberontakan, murtad dan qisas yakni bunuh balas tidak berhukum dengan hukum Allah atau yang lebih sinonim dipanggil hukum hudud.

Maka disebabkan kerajaan Malaysia tidak melaksanakan hukum hudud ini, maka Malaysia tidak boleh dianggap sebagai negara Islam.

Apakah benar kriteria sesebuah negara Islam seperti yang mereka maksudkan? Apakah hukum hudud satu hukum Allah yang tertinggi?

Bahkan lebih dahsyat daripada itu, pemerintah yang tidak melaksanakan hukum hudud dianggap telah mengingkari kewajipannya dan telah jatuh kafir dan perlu digulingkan. Apakah kefahaman ini juga benar?

Secara tegas dan jelas setiap hukum Islam yang fardu dan yang wajib jika seseorang itu mengingkari akan kefarduan dan kewajipannya maka telah ijmak para Ulama Ahli Sunnah wal Jamaah akan kekafirannya.

Tetapi berbeza pula hukumnya kepada seseorang yang masih beriman akan kefarduan dan kewajipan sesuatu hukum walaupun dia tidak melaksanakannya. Dia tidak jatuh kafir.

Takrif Negara Islam

Bagi menjelaskan kekeliruan berkenaan hal ini, apakah para ulama kalangan Ahli Sunnah wal Jamaah tidak membincangkan atau membahaskan ciri atau kriteria sesebuah negara Islam? Jawapan ya, ada dan banyak sekali.

Antaranya penegasan oleh Imam Abu Bakar al-Isma'ili rahimahullah (wafat: 371H). "Dan mereka (Ahlus Sunnah wal-Jama'ah) mengimani (mengakui) bahawa sesebuah negara (daar) adalah negara Islam bukan negara kafir, apabila masih terdapat seruan (azan) untuk solat dan solat didirikan dengan zahir (terang-terangan) dan ahlinya (rakyatnya) pula sentiasa bebas mendirikannya dalam suasana aman." (Rujuk: Abu Bakr al-Isma'ili, I'tiqad A'immatul Hadis, ms. 31, Bab: Daar al-Islam - Maktabah Syamilah)

Bahkan majoriti ulama Ahli Sunnah wal Jamaah seperti Syeikh al-Islam Ibnu Taimiyah, Imam Nawawi, Syeikh Nashiruddin al-Albani dan beratus-ratus lagi ulama salafi dahulu dan kini memberi kesimpulan berkenaan ciri-ciri sesebuah negara Islam di dalam kitab-kitab mereka melalui hadis-hadis Nabi SAW berkenaan kepimpinan dan negara.

Mereka telah menggariskan kriteria dan ciri-ciri utama sesebuah negara Islam itu ialah pemimpin utamanya seorang muslim dan majoriti rakyatnya beragama Islam, dilaungkan azan, didirikan solat jemaah dua Hari Raya setiap tahun dan solat Jumaat setiap minggu. Sekiranya ciri-ciri ini sudah terpenuhi maka wilayah atau negara tersebut adalah negara Islam.

Maka tidak bolehlah kerana Malaysia tidak dapat melaksanakan hukum jenayah Islam (hudud) maka gugurlah keislaman pada negara ini. Hal Ini adalah kefahaman yang tidak berteraskan kefahaman Islam bermanhaj Ahli Sunnah wal Jamaah yang betul.

Cuma apa yang perlu kita harapkan ialah kesempurnaan Malaysia sebuah negara Islam dengan berusaha memartabatkan semua hukum Allah dalam pentadbirannya. Hukum Allah bukan semata-mata hudud sahaja, bahkan hukum Allah meliputi segala apa yang Allah suruh dan apa yang Allah larang.

Rukun Islam Hukum Allah Tertinggi

Hukum Allah yang terbesar dan tertinggi adalah apa yang terkandung dalam Rukun Islam dan diikuti Rukun Iman. Manakala hukum Allah yang utama yang perlu kita perjuangkan dan pertahankan adalah Rukun Islam yang pertama - kalimah "la ilahaillallah" atau nama besarnya adalah akidah dan tauhid kepada Allah.

Mana mungkin Malaysia bukan negara Islam sedangkan kita tidak dihalang atau terhalang untuk mendirikan solat bahkan bersolat dengan aman, di samping banyak masjid dan surau dibinakan agar kalimah Allah dapat disebarkan.

Tiada siapa yang memaksa kita supaya jangan berpuasa, kita bebas menunaikan rukun zakat dan disediakan pula kemudahan agar dapat menunaikan haji dan umrah saban tahun. Apakah kita tidak bebas dan dihalang daripada melaksanakan hukum-hakam dalam Rukun Islam ini?

Jadi di manakah silapnya kita, sehingga atas dasar sempit kepartian perpaduan Islam tidak dapat direalisasikan kerana suara-suara perpecahan berkumandang di atas nama Islam. Islam yang dilaungkan tetapi perpecahan yang terjadi.

Pas Salah Slogan

Silapnya Pas suka menonjolkan Islam yang berkaitan menghukum kesalahan orang sahaja, sedangkan Nabi dan para sahabat lebih menonjolkan Islam itu dengan rahmat dan pengharapan hidayah di samping taubat.

Fahamilah firman Allah yang bermaksud: "Sesiapa melakukan perkara buruk atau menzalimi dirinya kemudian bertaubat, nescaya dia akan mendapati Allah Maha Pengampun dan Penyayang." (Surah An-Nisa', ayat 110)

Salah kempen menyebabkan keburukan itu kembali kepada Islam. Islam yang syumul ini dilihat sempit kerana slogan orang yang lemah akal dan pengetahuan agamanya.

Misalnya apakah untungnya apabila mereka melaungkan Malaysia bukan negara Islam? Pasti ada yang mengambil kesempatan di atas slogan ini. Pernah ditanya kepada seorang murtad kenapa dia murtad? Dia menjawab sebab "Malaysia inikan bukan negara Islam maka tak ada masalah nak murtad".

Mungkin juga akan ada pihak mempertikai laungan azan, solat, puasa, zakat dan haji di atas slogan Malaysia bukan negara Islam bahkan sudah ada pun yang mempertikaikannya. Maka tidak hairanlah kalimah 'Allah' yang dituntut oleh orang Kristian dalam negara ini hasil slogan ini.

Jadi kita mesti bijak dalam beragama. Jika ditanya kenapa tidak boleh murtad, perlu mendirikan solat, perlu bayar zakat dan sebagainya di Malaysia ini, maka jawapannya adalah kerana Malaysia ini negara Islam. LGBT dan seks bebas juga tidak dibenarkan kerana Malaysia adalah negara Islam.

Bukan satu kebanggaan jika ramai dihukum pancung sebab murtad. Dipotong tangannya sebab mencuri atau dirotan 100 kali sebab berzina - itu baru boleh dianggap sebagai sebuah negara Islam. Tetapi yang sebenar-benar lambang negara Islam itu dan kempennya ialah ramainya manusia bukan Islam memeluk agama Islam.

Sesungguhnya jika benar-benar rakyat beriman dan beramal soleh pasti Allah menguatkan Islam dan Melayu dalam negara ini. Berusaha ke arah perpaduan Islam adalah satu sunnah Nabi SAW dan hindarilah perpecahan yang bukan daripada ajaran Islam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan